50 TAHUN MERDEKA

                        

                     

                      
                     

                        

                        

                        

                     

                      
                     

                        

                        

                        

                     

                      
                     

                        

                        


Sejarah dunia Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Kedatangan
Islam pada abad ke-13 ke Tanah Melayu turut disusuli dengan
perkembangan yang melahirkan ribuan tokoh agama yang gigih berjuang
menegakkan syiar agama suci itu. Seorang tokoh agama yang tidak asing
dalam sejarah perkembangan Islam di Tanah Melayu ialah Syed Syeikh
Al-Hadi. Beliau adalah reformis Islam yang ulung di Tanah Melayu yang
memainkan peranan penting dalam memajukan sistem pendidikan negara,
khususnya agama Islam. Ini termasuk sumbangannya memajukan pendidikan
agama di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu seperti Singapura, Melaka
dan Pulau Pinang. Tokoh berketurunan Arab yang lahir di Kampung Ulu
Melaka pada tahun 1867 ini dikenali sebagai pelopor yang menyalurkan
pemikiran dan falsafah perjuangan Kaum Muda. Hasil perjuangan itu,
lahirlah sistem pengajian madrasah di Tanah Melayu.
                           

                        

 
 
Pengasas
Kaum Muda terdiri daripada Syed Syeikh Al-Hadi dan Syeikh Tahir
Jalaluddin. Mereka menganggap ajaran Islam harus menerima idea dan
falsafah barat agar umat Islam mendapat kemajuan setanding dengan orang
lain. Oleh itu, amalan sistem pengajian pondok yang mementingkan amalan
keakhiratan saja mungkin ketinggalan zaman. Sistem pengajian itu juga
memberi saingan kepada sistem pendidikan sekular yang diajurkan oleh
pejajah British. Sebaliknya sistem itu bertujuan melahirkan pelajar
yang alim, berilmu, bertanggungjawab kepada diri, agama dan bangsa.
Perjuangan Syed Syeikh dalam penyebaran dakwah Islam dan sistem
pendidikan semakin ketara dalam usaha mendirikan Madrasah Al-Iqbal pada
tahun 1907 di Selegie Road, Singapura. Madrasah Al-Iqbal didirikan
untuk mengembangkan Islam, menyalurkan pemikiran menentang khurafat,
membangunkan kembali sikap kritis umat Islam terhadap perubahan
sekitar, khususnya kemodenan Barat. Walau bagaimanapaun, madrasah
Al-Iqbal kurang mendapat sambutan di kalangan masyarakat Islam dan
dipindahkan ke Pulau Penyengat, Riau Lingga. Pada tahun 1916 Syed
Syeikh Al-hadi kembali ke Melaka dan mendirikan Madrasah Al-Hadi di
Bandar Kaba pada tahun 1917. Syed Syeikh Al-Hadi yang mendapat
pendidikan agama dan akademik di Mesir mengunakan bahasa pengantar Arab
di madrasah itu. Madrasah Al-Hadi telah menghadapi beberapa masalah. Di
antaranya termasuklah masalah kewangan, pentadbiran, ketiadaan guru
berkelayakan dan fenomena pemikiran masyarakat sekitar yang masih
kolot. Ekoran daripada pelbagai masalah yang sering dihadapi
menyebabkan Syed Syeikh Al-Hadi menutup madrasah itu pada tahun 1918.
Satu lagi sebab penutupan madrasah itu ialah pertentangan antara Kaum
Muda dan Kaum Tua di Melaka. Selain itu, golongan anti Kaum Muda di
Melaka turut memulau syarahan Syed Syeikh Al-Hadi. Pada tahun 1919,
beliau berhijrah ke Pulau Pinang. Pertentangan di antara Kaum Muda dan
Kaum Tua telah mencetuskan pergaduhan.
 
 
 
Kaum
Muda yang menerima pengaruh dari Indonesia itu menentang Kaum Tua yang
mengikut satu mazhab saja manakala Kaum Muda menyeru supaya ijtihad
dikembalikan untuk mencari sumber Islam. Di Pulau Pinang Syed Syeikh
Al-Hadi telah mendirikan Madrasah Al-Masyhor Al-Islamiyah, iaitu pada
tahun 1919. Antara pelajar lepasan madraah itu termauklah Dr.
Burhanuddin Al-Helmi yang kemudian muncul sebagai tokoh agama dan
perjuang kemerdekaan tanahair. Seorang lagi bekas pelajar madrah itu
ialah Haji Abu Bakar Al-Shaari. Syed Syeikh Al-Hadi kemudiannya
menceburkan diri dalam bidang penerbitan buku dan percetakan akhbar.
Syarikat percetakan yang dimiliki oleh Syed Syeikh Al-hadi ialah
Jelutung press. Melalui syarikat itu, beliau telah menerbiktan majalah
bulanan Al-Ikhwan dan akhbar dwi-mingguan, iaitu Saudara. Satu
keistimewaan Syed Syeikh Al-Hadi yang hampir sama dengan Hamka ialah
beliau juga membabitkan diri dalam perkembangan kesusasteraan dengan
menghasilkan novel saduran yang laris pada zamannya. Salah satu
daripada novelnya yang terkemuka ialah Faridah Hanum.
 
 
 
Pengaruh
gerakan reformasi yang dipelopori oleh Syed Syeikh Al-Hadi kemudiannya
berkembang ke beberapa buah negeri, termasuklah Perak. Seorang anak
didik Al-Masyhor, iaitu Syeikh Abdullah Maghribi telah mendirikan
madrasah Idrisiah di Perak. Terdapat lepasan Al-Masyhor yang lain turut
menubuhkan Madrasah Al-Diniyyah Kampung Lalang, Perak pada tahun 1934.
Sumbangan Syed Syeikh Al-Hadi dalam pendidikan Islam di Tanah Melayu
meninggalkan kesan yang mendalam dan hasil pemikiran kritisnya
melahirkan pembaharuan dalam gerakan Islam di Malaya. Penubuhan
madrasah yang dipeloporinya berhasil memberi pukulan kepada sistem
pendidikan sekular oleh penjajah Inggeris di Tanah Melayu. Syed Syeikh
Al-Hadi meniggal dunia pada Februari 1934 di Pualu Pinang.
 

Leave a Reply