Archive for July, 2007

50 TAHUN MERDEKA

Tuesday, July 31st, 2007

                        

                     

                      
                     

                        

                        

                        

                     

                      
                     

                        

                        

                        

                     

                      
                     

                        

                        


Sejarah dunia Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Kedatangan
Islam pada abad ke-13 ke Tanah Melayu turut disusuli dengan
perkembangan yang melahirkan ribuan tokoh agama yang gigih berjuang
menegakkan syiar agama suci itu. Seorang tokoh agama yang tidak asing
dalam sejarah perkembangan Islam di Tanah Melayu ialah Syed Syeikh
Al-Hadi. Beliau adalah reformis Islam yang ulung di Tanah Melayu yang
memainkan peranan penting dalam memajukan sistem pendidikan negara,
khususnya agama Islam. Ini termasuk sumbangannya memajukan pendidikan
agama di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu seperti Singapura, Melaka
dan Pulau Pinang. Tokoh berketurunan Arab yang lahir di Kampung Ulu
Melaka pada tahun 1867 ini dikenali sebagai pelopor yang menyalurkan
pemikiran dan falsafah perjuangan Kaum Muda. Hasil perjuangan itu,
lahirlah sistem pengajian madrasah di Tanah Melayu.
                           

                        

 
 
Pengasas
Kaum Muda terdiri daripada Syed Syeikh Al-Hadi dan Syeikh Tahir
Jalaluddin. Mereka menganggap ajaran Islam harus menerima idea dan
falsafah barat agar umat Islam mendapat kemajuan setanding dengan orang
lain. Oleh itu, amalan sistem pengajian pondok yang mementingkan amalan
keakhiratan saja mungkin ketinggalan zaman. Sistem pengajian itu juga
memberi saingan kepada sistem pendidikan sekular yang diajurkan oleh
pejajah British. Sebaliknya sistem itu bertujuan melahirkan pelajar
yang alim, berilmu, bertanggungjawab kepada diri, agama dan bangsa.
Perjuangan Syed Syeikh dalam penyebaran dakwah Islam dan sistem
pendidikan semakin ketara dalam usaha mendirikan Madrasah Al-Iqbal pada
tahun 1907 di Selegie Road, Singapura. Madrasah Al-Iqbal didirikan
untuk mengembangkan Islam, menyalurkan pemikiran menentang khurafat,
membangunkan kembali sikap kritis umat Islam terhadap perubahan
sekitar, khususnya kemodenan Barat. Walau bagaimanapaun, madrasah
Al-Iqbal kurang mendapat sambutan di kalangan masyarakat Islam dan
dipindahkan ke Pulau Penyengat, Riau Lingga. Pada tahun 1916 Syed
Syeikh Al-hadi kembali ke Melaka dan mendirikan Madrasah Al-Hadi di
Bandar Kaba pada tahun 1917. Syed Syeikh Al-Hadi yang mendapat
pendidikan agama dan akademik di Mesir mengunakan bahasa pengantar Arab
di madrasah itu. Madrasah Al-Hadi telah menghadapi beberapa masalah. Di
antaranya termasuklah masalah kewangan, pentadbiran, ketiadaan guru
berkelayakan dan fenomena pemikiran masyarakat sekitar yang masih
kolot. Ekoran daripada pelbagai masalah yang sering dihadapi
menyebabkan Syed Syeikh Al-Hadi menutup madrasah itu pada tahun 1918.
Satu lagi sebab penutupan madrasah itu ialah pertentangan antara Kaum
Muda dan Kaum Tua di Melaka. Selain itu, golongan anti Kaum Muda di
Melaka turut memulau syarahan Syed Syeikh Al-Hadi. Pada tahun 1919,
beliau berhijrah ke Pulau Pinang. Pertentangan di antara Kaum Muda dan
Kaum Tua telah mencetuskan pergaduhan.
 
 
 
Kaum
Muda yang menerima pengaruh dari Indonesia itu menentang Kaum Tua yang
mengikut satu mazhab saja manakala Kaum Muda menyeru supaya ijtihad
dikembalikan untuk mencari sumber Islam. Di Pulau Pinang Syed Syeikh
Al-Hadi telah mendirikan Madrasah Al-Masyhor Al-Islamiyah, iaitu pada
tahun 1919. Antara pelajar lepasan madraah itu termauklah Dr.
Burhanuddin Al-Helmi yang kemudian muncul sebagai tokoh agama dan
perjuang kemerdekaan tanahair. Seorang lagi bekas pelajar madrah itu
ialah Haji Abu Bakar Al-Shaari. Syed Syeikh Al-Hadi kemudiannya
menceburkan diri dalam bidang penerbitan buku dan percetakan akhbar.
Syarikat percetakan yang dimiliki oleh Syed Syeikh Al-hadi ialah
Jelutung press. Melalui syarikat itu, beliau telah menerbiktan majalah
bulanan Al-Ikhwan dan akhbar dwi-mingguan, iaitu Saudara. Satu
keistimewaan Syed Syeikh Al-Hadi yang hampir sama dengan Hamka ialah
beliau juga membabitkan diri dalam perkembangan kesusasteraan dengan
menghasilkan novel saduran yang laris pada zamannya. Salah satu
daripada novelnya yang terkemuka ialah Faridah Hanum.
 
 
 
Pengaruh
gerakan reformasi yang dipelopori oleh Syed Syeikh Al-Hadi kemudiannya
berkembang ke beberapa buah negeri, termasuklah Perak. Seorang anak
didik Al-Masyhor, iaitu Syeikh Abdullah Maghribi telah mendirikan
madrasah Idrisiah di Perak. Terdapat lepasan Al-Masyhor yang lain turut
menubuhkan Madrasah Al-Diniyyah Kampung Lalang, Perak pada tahun 1934.
Sumbangan Syed Syeikh Al-Hadi dalam pendidikan Islam di Tanah Melayu
meninggalkan kesan yang mendalam dan hasil pemikiran kritisnya
melahirkan pembaharuan dalam gerakan Islam di Malaya. Penubuhan
madrasah yang dipeloporinya berhasil memberi pukulan kepada sistem
pendidikan sekular oleh penjajah Inggeris di Tanah Melayu. Syed Syeikh
Al-Hadi meniggal dunia pada Februari 1934 di Pualu Pinang.
 

Kepentingan Wanita dalam Berpolitik

Tuesday, July 31st, 2007

Wanita merupakan bahagian yang tak dapat dipisahkan dari masyarakat, kerana Allah menciptakan manusia dalam dua jenis, iaitu laki-laki dan Wanita, untuk hidup bersama dalam suatu masyarakat. Keduanya diberikan potensi yang sama dari sisi kemanusiaannya, berupa potensi akal, naluri dan keperluan hidup. Adanya potensi ini akan mendorong keduanya terjun dalam kancah kehidupan bersama-sama.

Ketika manusia hidup bersama dalam suatu masyarakat, tentu tidak akan terlepas dari adanya persoalan-persoalan bersama yang muncul dalam kehidupan mereka. Hal ini mengharuskan setiap anggota masyarakat untuk turut berperanan serta menyelesaikannya. Lebih-lebih lagi bila persoalan tersebut menyangkut urusan orang banyak, iaitu urusan umat. Baik laki-laki mahupun Wanita tidak boleh berlepas tangan. Inilah pandangan Islam berdasarkan nash-nash sebagai berikut:

“Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan (Islam), menyeruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung. ( QS. Ali Imran : 104).

“Barangsiapa yang tidak memperhatikan kepentingan kaum muslimin, maka ia bukanlah termasuk di antara mereka, dan barangsiapa yang tidak berada di waktu pagi dan petang selaku pemberi nasihat bagi Allah dan Rasul-Nya, bagi kitab-Nya, bagi pemimpinnya dan bagi umumnya kaum muslimin, maka bukanlah ia termasuk di antara mereka.” (H R. Thabrani).

‘Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangan kalian, bila tidak mampu, maka ubahlah dengan lisan, dan bila tidak mampu, maka ubahlah dengan hati, walau itu merupakan selemah-lemah iman.” (HR. Muslim)

Nash-nash di atas menggunakan lafaz yang bersifat umum, seperti lafaz ummah pada QS. Ali Imran : 104, atau lafaz man (barangsiapa) pada dua hadis di atas. Lafaz-lafaz tersebut tidak membezakan antara laki-laki dan Wanita, sehingga status hukumnya wajib baik bagi laki-laki mahupun Wanita.

Ketika perintah Allah dan Rasul-Nya ditujukan kepada kaum muslimin seluruhnya, maka dapat dipastikan bahawa seluruh kaum muslimin baik laki-laki mahupun Wanita sanggup untuk melaksanakannya. Sebab Allah tidak akan membebani hamba-Nya di luar kemampuannya, sebagaimanan firman Allah dalam QS. Al Baqarah : 286 :

“Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia ,mendapat pahala dari kebajikan yang diusahakannya dan mendapat siksa dari kejahatan yang dikerjakannnya.”

Pada hakikatnya, ketika kaum muslimin berupaya memfungsikan segenap potensi insaniyahnya untuk turut menyelesaikan persoalan umat, maka pada saat itulah dia terlibat dalam mengurus kepentingan umat. Mengurus urusan umat, termasuk di dalamnya memperjuangkan agar usaha pemeliharaan urusan umat mampu terlaksana sebagaimana mestinya adalah aktiviti politik. Dengan demikian, Islam membebankan kewajipan politik kepada laki-laki, dan juga kepada Wanita.

Ada satu hal yang patut direnungkan oleh seluruh Wanita muslim. Tidak dapat diingkari bahawa saat ini jumlah Wanita lebih banyak dibandingkan dengan laki-laki. Maka apabila kaum Wanita mampu berperanan secara optimal, tentu akan memberi sumbangan yang sangat besar menuju tercapainya “umat terbaik”. Suara Wanita yang besar akan memberikan suatu pressure atau tekanan yang kuat kepada penguasa untuk menjalankan aktiviti pengurusan umat dengan baik, yang kita yakini tidak akan tercapai tanpa menegakkan syariat Islam. Begitu pula bila Wanita menjalankan fungsinya sebagai pencetak generasi politikus berkualiti, maka peranan politiknya akan menjadi sesuatu yang signifikan dalam menuju kebangkitan umat.

Dengan demikian, dalam perspektif Islam, aktiviti politik yang dilakukan oleh Wanita adalah semata-mata penunaian kewajipan dari Penciptanya. Sebagai konsekuensi, dalam pelaksanaan penunaian kewajipan ini, Wanita muslimah harus senantiasa mengikatkan diri terhadap hukum-hukum Allah. Keluar rumah dengan berjilbab, tidak melalaikan tugas utamanya sebagai isteri dan ibu, tidak berkhalwat, tidak bertabarruj, tidak bersafar lebih dari sehari-semalam tanpa mahram, adalah beberapa hukum yang tetap harus dipegang Wanita ketika terjun dalam aktiviti politik.

Bentuk-bentuk aktiviti Politik Wanita

Aktiviti politik bagi Wanita yang berorientasi pada redha Allah, sangat berbeza dengan aktiviti para feminis yang berorientasi pada perjuangan menuntut kesetaraan gender. Para feminis menuntut persamaan hak politik yang diwujudkan dalam bentuk penambahan jumlah Wanita yang duduk di kurusi penguasa, termasuk parlimen. Hal ini dilakukan berdasarkan asumsi, pemecahan permasalahan Wanita hanya dapat dilakukan oleh Wanita. Sedangkan dalam perspektif Islam, aktiviti politik adalah menjalankan perintah Allah, sehingga bentuk-bentuk aktiviti yang dilakukan terikat juga dengan apa aktiviti yang dibolehkan, diwajibkan dan diharamkan bagi Wanita.

Aktiviti Politik Yang Dibolehkankan bagi Wanita

1. Memilih dan Membaiat Pemimpin

Adanya pemimpin dalam suatu masyarakat adalah suatu hal yang mutlak untuk menyatukan dan mengarahkan potensi tiap anggota masyarakat ke arah tercapainya kesejahteraan dan ketenangan masyarakat tersebut. kerana itu Islam memberikan hak suara untuk memilih dan mengangkat ketua negara kepada tiap anggota masyarakat baik laki-laki mahupun Wanita. Tiap warga negara akan secara sedar menggunakan hak ini dengan penuh tanggungjawab demi keberlangsungan kepemimpinan negara.

Dalam sistem Islam, sahnya pengangkatan seorang ketua negara adalah dengan adanya baiat. Baiat merupakan pernyataan kerelaan mengangkat dan taat dari kaum muslimin kepada seseorang untuk memimpin dan memberlakukan hukum-hukum Islam atas mereka. Baiat pengangkatan penguasa ini hukumnya boleh bagi Wanita seperti yang terjadi pada Baiat Aqabah II, ketika 75 orang wakil penduduk Madinah, 2 di antaranya Wanita, menyerahkan kekuasaan kota Madinah kepada Nabi Muhammad SAW.

2. Memilih dan Dipilih sebagai Anggota Majlis Syura

Dalam riwayat shahih dari Ibnu Hisyam, dari Kaab bin Malik, disebutkan bahawa setelah tujuh puluh tiga orang laki-laki dan dua Wanita dari suku Aus dan Khazraj di kota Madinah melakukan baiat Aqabah II, Rasulullah SAW berkata kepada mereka :

“Datangkanlah dua belas wakil dari kalian, yang ada pada mereka tanggungjawab atas kabilahnya masing-masing…”

Seruan dari Rasulullah ini ditujukan kepada laki-laki dan Wanita, bererti Rasul memberi hak pilih kepada baik laki-laki mahupun Wanita. Begitu pula Rasulullah tidak menentukan wakil yang dipilih harus laki-laki, sehingga Wanita pun berhak untuk dipilih menjadi wakil rakyat.

Wakil rakyat ini kemudian dikenal berkumpul dalam Majlis Syura. Majlis syura ini adalah suatu badan yang memberikan nasihat dan pendapat kepada ketua negara atau disebut Khalifah. Nasihat dan pendapat anggota majlis ini diperlukan Khalifah dalam pembuatan ketetapan-ketetapan yang berkaitan dengan pengurusan hajat kehidupan umat. Wakil-wakil rakyat ini mengajukan apa saja yang diperlukan oleh rakyat dan memberikan saranan bagaimana keperluan itu dipenuhi. Mereka juga melakukan koreksi dan menasihati penguasa apabila keperluan rakyat diabaikan atau cara pemenuhannya tidak sesuai dengan apa yang sudah digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Wanita dalam majlis ini mewakili pendapat masyarakat yang memilihnya dan terutama mewakili kepentingan Wanita. Pendapat Wanita seringkali diperlukan oleh khalifah ketika menetapkan suatu keputusan, kerana tidak semua kepentingan dan kesulitan Wanita dapat difahami oleh laki-laki. Sebagai contoh, mungkin tidak pernah terfikirkan oleh laki-laki perlunya ruangan khusus menyusui anak di tempat-tempat umum seperti terminal, tempat awam, pasar dan sebagainya. Begitu pula keperluan Wanita dalam mendapatkan layanan-layanan khusus dalam kesihatan, pendidikan, transportasi, dan berbagai aspek lainnya. Pemenuhan berbagai keperluan khusus Wanita tentu memperlukan pendapat dari kaum Wanita yang berkepentingan, sehingga penguasa tidak salah dalam menetapkan keputusan.

Diriwayatkan bahawa Khalifah Umar bin Khattab pernah mengumpulkan para Wanita untuk membahas mahar yang dinilainya terlalu tinggi. Beliau menetapkan membatasi mahar sebesar 400 dinar untuk kemashlahatan masyarakat. Namun sebahagian Wanita yang diwakili oleh Khaulah binti Malik bin Tsa’labah menolak aturan tersebut sambil menyampaikan hujah, yakni Al Quran Surat An-Nisaa : 20 :“… sedang kamu telah memberikan kepada seorang (Wanita) di antara mereka harta yang banyak (tanpa ada batasan ). Maka janganlah kamu mengambil kembali darinya, meskipun hanya sedikit…”

Mendengar hujah Khaulah, Umar mengakui kekhilafannya dan membatalkan keputusannya seraya berkata: “Benarlah Wanita itu dan salahlah Umar.”

Aktiviti-aktiviti Politik yang Diwajibkan Bagi Wanita

1. Baiat Taat

Apabila telah diangkat seorang khalifah bagi seluruh kaum muslimin, maka kaum muslimin yang tidak terlibat langsung dalam baiat pengangkatan wajib melakukan baiat taat, termasuk Wanita. Diriwayatkan dari Ummu Athiyyah yang berkata:

“ Kami membaiat Rasulullah saw, lalu beliau membacakan kepada kami,’Janganlah kalian menyekutukan Allah dengan sesuatu’…(HR Bukhari)

2. Menasihati dan Mengoreksi Penguasa

Seperti juga kepada laki-laki, Allah mewajibkan juga Wanita untuk memberi nasihat. “Agama (Islam) itu nasihat”, kemudian ditanyakan,’Kepada siapa ya Rasulullah?’ Beliau menjawab : ‘Kepada Allah, RasulNya, pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan rakyat mereka.”

“Jihad yang terbaik adalah berkata tentang kebenaran di hadapan penguasa yang zalim.” (HR. Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Apabila penguasa menetapkan suatu aturan yang melanggar hukum syarak, atau ada keperluan rakyat yang luput dari perhatian penguasa, maka kewajipan setiap muslim untuk menasihati penguasa agar ia dapat memperbaiki kesalahan tersebut. nasihat ini boleh disampaikan langsung kepada penguasa, melalui anggota majlis syura, atau melalu suara kutlah siyasi.

3. Bergabung dengan Kutlah Siyasi

Kutlah siyasi adalah parti politik yang didirikan dalam rangka memenuhi kewajipan yang diserukan dalam QS. Ali Imran : 104

“Hendaklah ada segolongan di antara kamu yang menyeru kepada kebaikan (Islam), mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran; mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

Kutlah siyasi berdiri untuk menjaga agar semua hukum-hukum Allah tetap dipakai manusia di sepanjang masa, baik hukum yang mengatur kehidupan masyarakat muslim sendiri, mahupun hukum-hukum untuk mengajak orang di luar Islam untuk bergabung dalam cahaya Islam. Kutlah siyasi wajib ada baik apakah muslim berada dalam sistem Islam mahupun sistem non Islam. Dalam sistem Islam, kutlah bertujuan mengawasi pelaksanaan pengurusan umat oleh penguasa dan mengoreksinya bila ada penyimpangan, sementara dalam sistem non Islam, kutlah berjuang untuk melangsungkan kembali kehidupan di bawah sistem Islam.

Wanita memiliki peranan penting dalam kutlah siyasi, terutama dalam membina kesedaran politik sesama Wanita. Wanita adalah tiang negara, kerana itu, Wanita yang memiliki kesedaran politik akan dapat menjalankan peranan ini dengan baik. Dia tahu bagaimana dia harus mencetak anak-anaknya menjadi generasi pemimpin umat. Dia tahu bahaya yang dihadapi dalam usahanya ini, dan dapat mempersiapkan cara untuk menangkalnya. Misalnya, Wanita yang berkesedaran politik tahu bahawa media massa adalah alat paling efektif untuk merosakkan nilai-nilai Islam anak-anak, sehingga dia dapat bersikap selektif. Berbeza dengan Wanita yang tidak memiliki kesedaran politik cukup, dia akan membiarkan anak melahap semua sajian media tanpa mengetahui bahaya yang ditimbulkan bagi perkembangan keperibadian anak.

Begitu pula, Wanita yang memiliki kesedaran politik tahu persis apa hak-haknya yang harus dipenuhi oleh penguasa dan bagaimana pemenuhannya. Bila ada penyimpangan, dia tahu kewajibannya untuk mengoreksi agar penguasa kembali lurus di jalan yang telah Allah gariskan. Dengan demikian, Wanita akan bahu-membahu dengan laki-laki untuk menjaga tegaknya syariat Islam. Inilah perwujudan dari apa yang difirmankan Allah dalam QS. At Taubah : 71

“Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan Wanita, sebahagian menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.”

Untuk mewujudkan kesedaran politik Wanita yang seperti inilah, diperlukan keterlibatan aktivis Wanita di dalam kutlah siyasi.

Aktiviti Politik Wanita yang Diharamkan

Aktiviti politik Wanita yang diharamkan oleh Islam hanya satu, iaitu menjadi penguasa atau memegang jabatan yang memiliki wewenang kekuasaan dalam negara. Keharaman ini didasarkan pada hadis Rasulullah dari Abu Bakar:

“Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusannya kepada seorang Wanita.” (HR Bukhari)

Hadis ini diucapkan Rasulullah saw ketika disampaikan kepada beliau berita bahawa rakyat Parsi dipimpin oleh seorang ratu. Maka yang dimaksud dengan menyerahkan urusan dalam hadis ini adalah urusan kekuasaan pengaturan negara, bukan yang lain.

Penguasa adalah orang yang bertanggungjawab penuh menguruskan urusan umat. Untuk boleh melakukan pengurusan tersebut ia diberi hak menetapkan perundangan-perundangan yang wajib ditaati rakyat. Apabila ada yang melanggar, ia berhak menjatuhkan sanksi yang ditetapkan juga dalam undang-undang. Setiap orang yang memiliki hak seperti ini disebut penguasa, yang dalam sistem pemerintahan Islam terdiri dar :

1. Khalifah (ketua negara), iaitu pemegang kekuasaan tertinggi di dalam negara, namun tetap harus tunduk kepada hukum syarak.

2. Wali (ketua wilayah), iaitu orang diangkat dan diberhentikan serta bertanggungjawab kepada khalifah. Ia diberi wewenang oleh khalifah untuk memimpin dan menetapkan perundangan-perundangan yang hanya berlaku di suatu wilayah tertentu.

3. Amil, iaitu orang yang diberi hak oleh wali untuk memimpin dan menetapkan suatu peraturan yang hanya berlaku di suatu bahagian dari wilayah.

4. Qadhi Mazhalim, iaitu hakim tertinggi yang berhak memaksa rakyat atau khalifah untuk taat pada suatu ketetapan apabila terjadi perselisihan antara rakyat dan khalifah dalam urusan politik. Qadhi mazhalim juga berhak mengumumkan pencabutan kekuasaan dari seorang khalifah pada saat khalifah tidak lagi menerapkan hukum atau aturan yang bersumber dari syariat Islam, atau khalifah tidak lagi memenuhi syarat yang telah ditetapkan dalam undang-undang dasar.

Dalam sistem non Islam, Wanita juga diharamkan menjabat sebagai penguasa. Yang termasuk dalam lingkup penguasa pada sistem non Islam ini adalah lembaga eksekutif seperti presiden, menteri, gabenor,lembaga legislatif iaitu parlimen, dan kekuasaan judikatif seperti ketua Mahkamah Agung.

Pengharaman jabatan-jabatan yang berkaitan dengan kekuasaan ini bukanlah suatu pendiskreditan terhadap Wanita tetapi pengharaman ini justeru untuk menjamin tertunaikannya peranan utama Wanita sebagai ibu yang mencetak generasi penerus umat. Peranan ini tidak tergantikan. Bila Wanita tersibukkan dengan tugas-tugasnya sebagai penguasa yang selalu harus siap menyelesaikan seluruh pengurusan umat, bagaimana dia akan mempertanggungjawabkan kewajipannya mendidik anak di hadapan Allah nanti? Hal ini tentu tidak sulit difahami oleh orang-orang yang memandang kehidupan senantiasa mengacu kepada tujuan penciptaannya sebagai manusia. Sebaliknya akan sulit difahami oleh orang-orang yang hanya memikirkan diri sendiri dan berfikir secara dangkal dalam menyelesaikan permasalahan hidupnya.

Begitu pula, pengharaman Wanita dalam kekuasaan bukanlah usaha menindas Wanita. Dalam Islam, ada keharusan bagi pemimpin untuk memutuskan segala sesuatu berdasarkan aturan Allah dan Rasul-Nya. Puncak kekuasaan bukanlah posisi yang membolehkannya berbuat sesuka hati, tetapi menjadi pemimpin adalah suatu amanah Allah yang akan dimintai pertanggungjawapan. Dengan demikian, tidak masalah siapapun pemimpinnya baik laki-laki ataupun Wanita, aturan-aturan yang dibuatnya harus selalu mengacu kepada hukum syarak, bukan mengacu pada kepentingan golongan laki-laki saja atau Wanita saja.

Haramnya Wanita berkifrah dalam parlimen adalah suatu perkara yang berbeza dengan kebolehan Wanita menjadi anggota majlis syura. Ini kerana adanya perbezaan fakta yang mendasar antara majlis syura dalam Islam dengan parlimen.

Parlimen identik dengan lembaga pembuat undang-undang, suatu aktiviti yang hanya dilakukan oleh penguasa. Sedangkan majlis syura hanya memberi nasihat dan masukan/input kepada khalifah, bukan membuat undang-undang. Perbezaan yang prinsipal inilah yang membuat status hukum Wanita beraktiviti di dalamnya menjadi berbeza.

Inilah garis-garis yang telah ditetapkan Allah bagi Wanita untuk berkifrah di bidang politik. Wanita muslimah yang meletakkan tujuan hidupnya dalam kerangka redha Allah tentu akan mampu menjalankan hak dan kewajipan politiknya sama seperti melaksanakan hak dan kewajipan lainnya dalam agama.

PI MAI PI MAI TANG TU

Sunday, July 22nd, 2007

Sejak akhir-akhir ini, gejala sosial di Malaysia nampaknya semakin banyak dan menjadi-jadi. Jika dulu setiap kali isu sosial ini timbul, masyarakat akan terus mencemuh dan mengaitkannya dengan budaya kehidupan Barat. Istilah ‘budaya kuning’ cukup popular suatu waktu dulu bagi menggambarkan kehidupan bebas di Barat yang menjadi kegilaan muda-mudi di Malaysia. Waktu itu, masyarakat masih memandang keji budaya import ini yang telah merosakkan akhlak, khususnya golongan muda. Tahun demi tahun berlalu, istilah budaya kuning semakin terhakis dan terus hilang dari kamus. Dengan kata lain, ‘budaya kuning’ itu telah kehilangan kuningnya dan kini telah menjadi ‘budaya kita’. Sebab itulah, gejala sosial yang berlaku kini bukanlah merupakan satu perkara asing lagi di dalam masyarakat. Masyarakat nampaknya sudah ‘lali’ dengan apa yang berlaku dan sudah pasrah dengannya, bak kata pepatah ‘alah bisa tegal biasa’.

Hampir setiap hari kita didedahkan dengan bermacam-macam laporan tentang masalah salah laku remaja. Berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan sudah terlalu lumrah, sehingga ia tidak lagi dilakukan di tempat yang tersorok, malah telah berlaku secara terang-terangan di tempat awam. Jika dulu kes-kes berpeluk, cium dan raba adalah fenomena biasa di tasik-tasik, kini ia boleh dilihat di mana-mana, termasuklah di kedai-kedai mamak sekalipun. Budaya rempit sudah tidak terkata dan semakin hari mereka semakin menunjukkan belang. Ini terjadi setelah golongan mat rempit ini semakin mendapat perhatian kerajaan, seolah-olah mereka ini telah diberi satu ‘pengiktirafan’. Baik di bandar mahupun kampung, golongan ini sudah tidak memilih tempat lagi, asalkan ada jalan raya. Lebih buruk, aktiviti rempit ini turut melibatkan golongan remaja perempuan. Apa yang paling menyedihkan kita ialah, mereka ini semuanya beragama Islam! Malah sebahagian besar kes gejala sosial yang berlaku di Malaysia adalah melibatkan muda-mudi Islam!

Sedikit Berita Terkini

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan isu-isu yang berkaitan dengan permasalahan moral khususnya yang menyentuh perkara-perkara berkaitan hubungan antara lelaki dan perempuan, mereka pastinya telah mengetahui tentang isu terkini sekitar laporan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah dibuat oleh pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja, Dr. Khaidzir Ismail telah mendedahkan bahawa hanya seorang sahaja daripada subjek-subjek ujikaji berjumlah 887 remaja bermasalah masih belum pernah melakukan ’hubungan seks’. Laporan tersebut telah menjadi isu kontroversi di mana penemuan tersebut telah dikritik hebat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang menyatakan hasil laporan tersebut tidak boleh diguna pakai kerana terdapat kesalahan dari segi statistik serta definisi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula meluahkan, ‘‘Jangan hukum seluruh generasi muda hanya kerana perlakuan 886 gadis… ramai lagi golongan remaja perempuan yang baik, rajin, menghormati orang tua dan tidak tinggal sembahyang… kenapa kita tidak bercakap mengenai mereka? Kenapa kita hanya menumpu kepada isu-isu kecil sahaja”. Beliau seterusnya menyatakan, ‘‘Jangan jadikan hasil kajian ini untuk menghukum mereka. Henti menghukum generasi muda,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran media Festival Sastera Antarabangsa Kuala Lumpur [UM 02/03/07].

Cukup malang apabila kita mendengar kes ini dianggap sebagai kes kecil sahaja, apatah lagi bila dikatakan tidak perlu menghukum remaja dengan (kajian) kes-kes sebegini. Mungkin kerana ia melibatkan remaja maka ia dianggap kes kecil dan tidak perlu menghukum, tetapi jika ia melibatkan mana-mana Datuk atau Menteri, maka kes ini adalah kes besar dan perlu dihukum. Mungkin juga kerana ia dilakukan secara suka sama suka oleh remaja yang berkenaan, maka ia dianggap sebagai kes kecil sahaja dan tidak perlu menghukum remaja kerananya, tetapi jika remaja memaksa (mencabul kehormatan/merogol) remaja lain, barulah kes ini dikatakan besar! Pelik! Apakah standard/ukuran yang digunakan? Walhal di dalam Islam, sesiapa sahaja yang berkhalwat, berzina (suka sama suka) atau merogol, sama ada rendah atau tinggi status sosialnya sekalipun, jika ia dilakukan oleh orang yang telah baligh dan berakal, maka ia wajib dihukum. Dengan kata lain, kes ini wajib diselesaikan, bukan dibiarkan.

Biarpun kesahihan kajian UKM tersebut dipertikaikan, namun apa yang pasti masalah keruntuhan akhlak terutama yang membabitkan hubungan antara lelaki dan perempuan seperti khalwat, zina dan lain-lain, memang telah lama menular di dalam masyarakat Islam di Malaysia. Pertikaian dari segi statistik dan definisi ini tidak dapat menidakkan gejala sosial yang semakin parah ini. Tambahan lagi, bukan soal statistik dan definisi yang ingin kita bahaskan, tetapi kesalahan itu sendiri. Maksudnya, wujud atau tidak salah laku tersebut, inilah yang kita perlu persoalkan. Jika wujud, tidak kira berapa statistiknya sekalipun, kita wajib menyelesaikannya, dan wajib diselesaikan menurut perspektif Islam, bukan menurut akal kita. Cara memandang dan menilai salah laku remaja dari aspek kuantitatif tidak akan membawa kepada apa-apa penyelesaian. Adakah kita hanya ingin menunggu statistik yang besar dan terbukti secara kuantitinya, barulah kita akan menganggap masalah ini serius dan perlu diatasi? Apakah kita ingin menunggu masalah ini menjadi sebati dengan remaja barulah kita ingin bertindak? Cara berfikir sebeginilah yang menyebabkan masyarakat menjadi lali dengan gejala sosial dan masyarakat juga turut lali dengan kegagalan yang berlanjutan dalam mengekang masalah ini dan mula menerimanya sebagai sesuatu yang lumrah.

Kebuntuan pihak-pihak bertanggungjawab dalam memberikan penyelesaian juga jelas terbukti dengan peningkatan kadar jenayah. Kita melihat dengan mata kepala kita sendiri bahawa, biarpun telah bermacam pendekatan diambil dan berjuta ringgit telah dibelanjakan untuk menangani gejala-gejala ini, masalahnya tidak pernah berkurangan malah telah bertambah dari tahun ke tahun. Biarpun bilangan penduduk Malaysia hanya bertambah sekitar 2% setiap tahun, indeks jenayah rogol dan sebagainya telah bertambah dengan lebih besar. Pada tahun 2004, jenayah rogol telah bertambah sebanyak 16.8% kepada 1,718 kes daripada 1,471 kes pada tahun 2003 (statistik Polis DiRaja Malaysia) berbanding pertambahan penduduk yang hanya meningkat sebanyak 2.1%. Pada tahun 2005, kes rogol telah meningkat kepada 1,895 kes, peningkatan sebanyak 10.3% berbanding 2004 dan pada tahun lalu pula, jenayah rogol terus meningkat kepada 2,238 kes, pertambahan sebanyak 18.1%. Jika dibandingkan, pertambahan penduduk hanya meningkat sebanyak 1.9% sahaja.

Bagi kes pencabulan kehormatan pula, PDRM telah merekodkan 1,399 kes pada tahun 2003, meningkat 18.7% kepada 1,661 pada tahun 2004, meningkat lagi pada tahun 2005 kepada 1,771 dan pada tahun lepas terus lagi meningkat kepada 2,023 kes iaitu pertambahan sebanyak 14.2%. Ini tidak dikira kes-kes jenayah lain yang juga menunjukkan corak kenaikan yang sama setiap tahun. Adakah ini senario yang kita harap-harapkan? Adakah para ibu bapa boleh tidur lena dengan mengetahui risiko-risiko yang boleh menimpa anak-anak mereka? Bolehkah kita berbangga dengan pertumbuhan ekonomi lebih 5% setiap tahun dari tahun 2003, yang hakikatnya turut disertai pertumbuhan kadar jenayah sosial seperti yang telah dinyatakan? Adakah kita perlu pasrah dengan kenyataan bahawa peningkatan kadar jenayah tersebut sebagai suatu yang lumrah? Apakah kita tidak mahu mengubah keadaan ini? Apakah tidak wujud penyelesaian bagi masalah ini di dalam agama Allah?

Kaedah Penyelesaian Yang Tidak Menyelesaikan

Mereka yang terlibat dalam gejala sosial yang diketengahkan ini rata-ratanya menjalani kehidupan mereka dengan melakukan tindakan-tindakan tanpa matlamat yang jelas atau tanpa matlamat langsung. Tanpa matlamat dan hala tuju kehidupan yang jelas ini, maka perbuatan-perbuatan manusia akan dilakukan berdasarkan miqiyas (penilaian) yang tersasar dari jalan yang diredhai oleh Allah. Ada masanya mereka ini melakukan tindakan-tindakan bodoh kerana menjadi pak turut kepada satu pandangan hidup yang terpesong. Konsep kebebasan hidup yang dipeloporkan oleh ideologi ciptaan Barat telah meracuni minda umat Islam di Malaysia hingga ianya menjadi pasak kepada pembentukan asas nilai kepada tindak-tanduk mereka.

Budaya hedonisme dan budaya-budaya Barat lain yang mengajak kepada pemenuhan tuntutan nafsu dan keseronokan secara maksima menjadi ikutan hasil daripada tiadanya kefahaman terhadap tujuan manusia diciptakan di atas muka bumi ini. Ini ditambah pula dengan sistem kehidupan yang diamalkan kini telah meletakkan nilai-nilai pincang pujaan Barat sebagai asas nilai kehidupan masyarakat kini. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram telah dilihat sebagai satu kemajuan dalam pembentukan masyarakat yang lebih maju tetapi bukan sebagai pelanggaran perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Cinta sebelum kahwin dan muqaddimah zina dibiarkan dan dipandang enteng oleh masyarakat sehingga mereka yang tidak melakukannya dilihat sebagai kolot atau ketinggalan zaman. Undang-undang yang ada pula dengan mudah dipermainkan apabila nilai denda/hukuman yang dikenakan langsung tidak menggerunkan. Pihak berkuasa pula lebih memandang masalah sosial ini sebagai isu individu dan bukannya satu jenayah besar yang mesti dibanteras sekeras-kerasnya.

Setiap kali berlakunya kes-kes baru yang dihangatkan oleh media, seringkali kita dibentangkan dengan pelbagai kaedah penyelesaian yang kononnya dapat menangani permasalahan yang timbul. Masyarakat telah lumrah dengan pendekatan-pendekatan tekstual seperti memberikan pendidikan agama yang secukupnya, menyediakan lebih banyak pusat-pusat didikan dan kaunseling, melaksanakan undang-undang yang lebih ketat dan sebagainya. Ada pula pihak yang lebih sibuk menuding jari dan menyalahkan pihak-pihak tertentu daripada memberikan penyelesaian. Antara golongan yang biasa kita dengar akan dipersalahkan apabila adanya berita remaja terlibat dengan salah laku moral adalah pihak ibubapa, rakan sebaya, media massa, internet, pihak sekolah khususnya guru-guru, masyarakat dan seumpamnya. Malah, imam masjid kadang-kadang turut dipersalahkan kerana gagal menarik minat golongan muda untuk ke masjid dan mendalami ilmu agama. Yang pasti, satu-satunya pihak yang tidak pernah bersalah adalah kerajaan! Kerajaan adalah satu pihak yang telah melaksanakan segala-segalanya untuk kebaikan rakyat. Segala yang kerajaan lakukan ialah demi untuk rakyat. Jadi, jika masih terdapat masalah, maka rakyatlah yang bersalah. Kerajaan seolah-olah merupakan satu institusi ‘suci’ yang tidak pernah bersalah dalam apa jua masalah!

Sebagaimana yang telah disebutkan, setakat ini pelbagai jalan penyelesaian telah diambil. Rata-rata pendekatan yang selalu dicadangkan selama ini lebih banyak dilihat cuba mengubati simptom-simptom yang berlaku dan bukannya mengubati penyakit sebenar. Masalah remaja rosak akhlak, merempit, terjerumus ke lembah maksiat dan penagihan dadah adalah simptom yang timbul daripada penyakit sebenar. Contohnya, jika di sebuah kawasan perumahan terdapat aktiviti memecah batu (kuari) dan akibatnya sebahagian besar dari penduduk terkena batuk-batuk. Jadi, beberapa penyelesaian cuba diambil seperti memakan ubat batuk, menutup tingkap-tingkap rumah dengan kain, membersihkan halaman rumah dari debu-debu, memakai topeng penutup hidung dan sebagainya. Persoalannya? Apakah semua langkah ini dapat mengubati penyakit batuk tersebut? Apakah ini merupakan penyelesaian yang hakiki? Kami rasa para pembaca semua sudah dapat mengagak bahawa jawapan yang sebenarnya adalah cukup mudah, yakni menutup kuari tersebut atau menghentikan operasinya. Jika batuk yang diubati, bukannya kuari itu sendiri, maka inilah yang dikatakan mengubati simptom, bukan puncanya. Jika beginilah caranya, masalah yang timbul tidak akan pernah dapat diselesaikan!

Berbalik kepada isu gejala sosial seperti kes mat rempit, ada pihak yang mencadangkan agar lesen mat-mat rempit tersebut ditarik seumur hidup atau mereka diberi kaunseling dan didikan agama secukupnya. Turut dicadangkan agar ibubapa mereka didenda. Jika difikirkan, adakah mereka ini merempit hanya kerana mereka mempunyai lesen dan sekiranya lesen mereka ditarik maka mereka tidak akan merempit lagi? Bagi membanteras kes rogol pula, pernah dicadangkan agar perempuan memakai cawat besi, diperketat undang-undang dan sebagainya. Bagi kes tangkap khlawat atau berdua-duaan, cadangan yang biasa adalah diberi kaunseling dan didikan agama. Persoalannya, adakah mereka ini tidak memahami bahawa apa yang mereka lakukan adalah salah dan berdosa dari segi agama sehingga perlu diberi kaunseling? Tidak cukupkah pendidikan agama dan nilai-nilai murni yang cuba diterapkan di sekolah-sekolah? Inilah beberapa contoh penyelesaian simptom kepada masalah, bukan menyelesaikan puncanya.

Adakah Sinar Untuk Kita?

Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Orang-orang kafir Barat hidup tanpa berpandukan agama. Oleh itu, mereka menyelesaikan segala masalah mereka dengan menggunakan akal mereka sendiri, tanpa panduan dari agama mereka. Kita umat Islam berbeza sama sekali dengan mereka di mana kita mempunyai panduan yang mana jika kita berpegang dengannya, kita tidak akan sesat selama-lamanya. Dan panduan kita itu tak lain tak bukan ialah Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Jika mengambil selain keduanya, maka sudah barang pasti, segala masalah tidak akan dapat diselesaikan dan lebih buruk dari itu, umat Islam itu pasti akan tersesat. Inilah apa yang berlaku pada hari ini di mana, pada semua masalah diterapkan hukum akal di dalamnya, bukannya hukum Allah. Umat Islam telah mengambil cara berfikir kafir Barat di dalam menyesaikan segala permasalahan. Maka berlakulah apa yang kita saksikan sekarang - penyelesaian yang tidak pernah menyelesaikan.

Umat Islam tidak habis-habis menggunakan akal dan terus tersesat jalan dengan cuba mengubati penyakit dengan mengubati simptomnya sahaja. Ibarat kata, jika atap sebuah rumah itu bocor dan menyebabkan air menitis setiap kali hujan melanda, umat Islam sibuk mencari penyelesaian dengan mengambil baldi atau lain-lain bekas untuk menakung air yang bocor itu. Mereka sibuk berbincang dan bertelagah sesama sendiri sama ada baldi atau besen yang lebih sesuai. Mereka juga sibuk berbincang saiz baldi dan besen yang akan digunakan. Persoalannya, apakah selesai masalah dengan pendekatan sebegini, jikapun yang diambil itu adalah baldi atau besen emas sekalipun? Wahai kaum Muslimin! Kalian semua mengetahui bahawa satu-satunya jalan penyelesaian yang akan menuntaskan segala masalah ialah dengan membaiki atap yang bocor tadi. Inilah penyelesaian yang hakiki.

Justeru apa yang kami ingin utarakan ialah penyelesaian yang hakiki bagi semua permasalahan hidup manusia adalah Islam. Kerana yang menjadi punca kepada segala masalah ialah tidak diterapkan Islam di dalam kehidupan. Hukum Islam telah diganti dengan hukum kufur. Pemikiran sekular telah meresap dalam dan sebati dengan umat Islam, khususnya para pemimpin yang di tangan mereka terdapat kuasa membuat undang-undang. Oleh kerana telah sebati dengan sistem kufur sekular, maka di dalam menyelesaikan masalah pun, umat Islam telah berfikir dengan cara berfikir orang-orang kafir, yakni menggunakan akal di dalam berhukum. Kitab Allah dibuang, sunnah Rasul dicampak, undang-undang ciptaan manusia dijulang. Inilah punca kepada segala masalah yang menimpa umat Islam. Jadi, satu-satunya cara yang hakiki di dalam menyelesaikan setiap inci masalah ialah umat Islam wajib kembali kepada kehidupan Islam, wajib berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan dan wajib mengikuti sunah RasulNya di dalam segala aspek kehidupan. Barulah dikatakan kita menangani punca kepada masalah, bukan simptomnya. Jika tidak, maka umat Islam sebenarnya telah mengikuti jejak langkah syaitan yang menyesatkan!

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [Al-Baqarah (2):208].

Apabila sistem yang mengatur kehidupan itu baik, maka tidak akan ada unsur-unsur yang boleh mendorong manusia untuk melakukan kejahatan atau jenayah. Dalam erti kata lain, sistem yang mampu mengarahkan kecenderungan manusia ke arah ketenteraman dengan terpenuhnya segala tuntutan naluri manusia yang asas akan mampu untuk memastikan terkawalnya manusia daripada melanggar norma-norma kehidupan yang sepatutnya. Sesiapapun perlu memuaskan keperluan fizikalnya (hajatul udhuwiyyah) dengan cara makan, minum, bernafas, buang hajat dan sebagainya. Begitu pula manusia memerlukan ketenangan dengan memenuhi naluri (gharizah) yang dimilikinya. Naluri untuk melestarikan jenis (gharizah an-nau’/sexual instinct) jika tidak diatur sesuai dengan Islam tentu akan mengakibatkan kerosakan akhlak (masalah sosial) dengan merebaknya kes-kes rogol, homoseks, lesbian, pergaulan bebas dan sebagainya.

Dalam kehidupan sosial, Islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan wanita, bentuk pakaian wanita muslimah, cara memandang wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan kerosakan akhlak dan lain-lain. Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh suatu aturan (nizham) yang tertentu. Dalam mengatur hubungan antara lelaki dan perempuan, Islam telah meletakkan beberapa ketetapan seperti:

1. Islam telah memerintahkan kepada manusia, baik lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan [An-Nur (24):30-31];

2. Islam memerintahkan kepada wanita untuk mengenakan pakaian secara sempurna, tudung dan jilbab, iaitu pakaian yang menutup seluruh tubuhnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangannya [An Nur (24):31] dan [Al-Ahzab (33):59];

3. Rasulullah bersabda, “Tidak dibolehkan seorang wanita yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan hari akhirat untuk melakukan perjalanan selama sehari semalam, kecuali jika disertai mahramnya.” [HR. Bukhari dan Muslim].

4. Rasulullah juga bersabda, “Tidak diperbolehkan seorang lelaki dan seorang wanita berkhalwat, kecuali jika wanita itu disertai mahramnya” [HR. Muslim].

5. Islam melarang wanita untuk keluar rumahnya kecuali dengan izin suaminya;

6. Islam sangat menjaga agar dalam kehidupan khusus hendaknya jamaah (komuniti) kaum wanita terpisah dari jamaah (komuniti) kaum lelaki;

7. Islam sangat menjaga agar hubugan kerjasama antara lelaki dan wanita hendaknya bersifat umum dalam masalah muamalah; bukan hubungan yang bersifat khusus seperti saling mengunjungi antara wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya atau berjalan-jalan bersama;

8. Islam mengambil berat dalam memelihara keturunan dan nasab. Bahkan Islam menentukan hukuman rejam bagi penzina Muhsan (sudah berkahwin);

9. Islam menetapkan bahawa penzina bukan Muhsan dihukum 100 kali sebatan [an-Nur (24):2].

Dalam perlaksanaan sistem yang dianjurkan oleh Islam, tanggungjawab untuk memastikan ketetapan-ketetapan yang telah digariskan oleh Islam terletak ditangan setiap ahli masyarakat dan juga negara. Masyarakat wajib mengubah kemungkaran yang dilihatnya, manakala Negara pula adalah satu institusi pelaksana (qiyan tanfizi) yang penting, yang mana Negaralah yang akan menghukum (uqubat) setiap orang yang melanggar hukum Allah. Jadi, dengan kata lain kehidupan itu wajib diatur dengan sistem Islam, dan jika masih wujud pelanggaran, maka Negaralah yang akan mengenakan hukuman terhadap setiap pelaku maksiat tersebut dan hukuman itu mestilah uqubat Islam, bukannya hukuman akal ciptaan manusia. Perlaksanaan hukuman Islam ini akan mewujudkan dua fungsi iaitu sebagai zawajir (pencegahan) dan jawabir (penebus dosa di akhirat). Muhammad Ismail di dalam kitabnya, Fikrul Islam telah menghuraikan bahawa sistem Islam dapat mencegah manusia dari melakukan tindakan kejahatan sebab, bilamana dia melakukan juga kejahatan itu dia akan berhadapan dengan masyarakat dunia dan negara dengan sistem hukuman yang datang dari Al-Khaliq itu sendiri. Di akhirat kelak ia akan menghadapi azab Allah yang sangat pedih lagi menyeksakan.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Setakat ini hukum Islam tidak pernah dicadang untuk diterapkan apabila membincangkan setiap masalah. Walhal inilah penyelesaian yang haikiki. Malah, apa yang menyedihkan kita ialah jika pun ada cadangan untuk menerapkan hukum Allah ini, para pemimpin dan mereka yang cintakan sekular terus tidak bersetuju, mempertikaikan, mengkritik bahkan ada yang menolak mentah-mentah. Walhal apa yang sepatutnya mereka lakukan ialah berusaha bersungguh-sungguh ke arah penerapannya secara kaffah, bukan mempertikaikannya. Sekiranya mereka tidak faham sekalipun, apa yang wajib mereka lakukan ialah belajar bersungguh-sungguh memahaminya untuk kemudian mengamal dan menerapkannya. Jika untuk hukum kufur mereka boleh dan sanggup berusaha bersungguh-sungguh menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mempelajarinya, menggubal, membahaskan dan menerapkannya, kenapa tidak untuk hukum Islam?

Wahai kaum Muslimin! Kalian benar-benar memerlukan sebuah negara bagi menerapkan hukum Islam ini. Selagi tiadanya Daulah Khilafah yang akan menerapkan hukum-hukum Allah secara kaffah di dunia ini, selagi itulah kita akan menyaksikan masalah kehidupan yang bertali arus, yang tiada kesudahannya. Hanya mereka yang memiliki ketakwaan yang tinggi sahaja yang akan sanggup bergadai nyawa untuk mengenggam hukum Allah ini, walaupun ia umpama mengenggam bara api. Bagi para pelaku maksiat yang tidak memiliki ketakwaan ini, maka golongan ini hanya boleh diubah dengan adanya sebuah sistem yang datangnya dari Allah yang akan mengubah mereka. Saidina Usman bin Affan pernah berkata, “Sultan (kekuasaan) itu akan meluruskan manusia yang tidak dapat diluruskan oleh Al-Quran.” Maksudnya, jika manusia itu tidak mengikuti apa yang diperintahkan oleh Al-Quran, maka penguasalah (Khilafah) yang akan menghukum mereka (yang akan meluruskan semula mereka). Semoga kekuasaan (Khilafah) ini segera muncul dan akan meluruskan semula manusia dengan Al-Quran serta mengembalikan kehidupan Islam sama ada di dalam kehidupan individu, bermasyarakat dan juga bernegara. Insya Allah.

Kewajipan Mengundi Mengikut Syara’

Saturday, July 21st, 2007

Pemerintahan Islam itu berbentuk khilafah atau Imaratul Mukminin
ataupun al Imamah al ‘Uzma. Ia merupakan sebuah pemerintahan yang
berteraskan kepada syariat Islamiyyah sama ada pada perlembagaannya,
undang-undangnya, ekonominya dan lain-lainnya. Ia ditakrifkan oleh Al
Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Khaldun dan lain-lain dengan maksud :

“mengalang ganti kenabian dalam urusan menjaga agama dan mentadbirkan dunia dengannya”.

Pengertian ini dibuat berdasarkan kata-kata Abu Bakar Al Siddiq r.a. sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w. maksudnya:

“Muhammad
sudah wafat, maka agama ini sudah pasti memerlukan orang yang
mengurusnya”.
Kata-kata ini terus mendapat sokongan dan persetujuan padu dari
kalangan para sahabat yang menghadiri perhimpunan Saqifah Bani Sa’adah
yang berakhir dengan pencalonan beliau (Abu Bakar) sebagai khalifah
menggantikan Rasulullah s.a.w.

Hukum Menegakkan Pemerintahan Islam

Ramai
di kalangan ‘alim ulama’ yang bercakap tentang perkara ini, yang biasa
didengari ialah seperti Al Imam Al Mawardi, Abu Yu;la, Ibnu Khaldun,
(faqih Siasi), Imam Al Haramain Al Juwaini, (Faqih Ijtima’ie), Imam Al
Ghazali, (Faqih Tasawwuf) dan lain-lain lagi. Sebagai contoh kita ambil
sahaja kata-kata al Faqih al Ma’ruf Ibnu Hazam Al Andalusi:

“Para
ulama’ daripada Ahlu Sunnah wal Jamaah, Al Murji’ah, As Syiah dan
Khawarij bersatu pendapat dalam mengatakan bahawa menegakkan
Pemerintahan Islam itu adalah wajib, maka seluruh umat berkewajipan
melakukan taat kepada Imam yang adil yang menegakkan ke atas mereka
hukum hakam Allah, yang mentadbir dan memerintah mereka dengan syariat
Allah yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Namun
begitu terdapat satu puak daripada Al Khawarij yang bergelar Al Najdat
mengatakan bahawa tidak wajibnya menegekkan kerajaan yang serupa itu.
Walau bagaimanapun mereka sudah tidak wujud lagi dewasa ini.

Pendapat
mereka ditolak oleh Ijma’ mereka yang telah disebutkan itu, lebih-lebih
lagi apabila kita dapati Al-Quran dan Al-Sunnah turut menyatakan
wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu.

Wajibnya menegakkan Pemerintahan Islam itu berdasarkan Syara’ dan berdasarkan ‘Aqal

Kita
telah menyatakan bahawa menegakkan pemerintahan Islam itu wajib. Apakah
wajibnya itu berdasarkan syara’ atau berdasarkan ‘aqal atau
kedua-duanya sekali?

Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Hazam dan Ibnu
Khaldun menyatakan bahawa syara’ dan ‘aqal sama-sama mewajibkan kita
menegakkan pemerintahan Islam. Hal ini berdasarkan Al-Quran, Al-sunnah,
Al-Ijma dan ‘aqal (logik). Antara lain Firman Allah Ta’ala:

Ayat
ini menfardhukan kepada kita mentaati Allah, Rasul dan Ulu Al Amri yang
memerintah kita. Rasulullah s.a.w. antara lainnya ada bersabda:

Selain
dari Al-Quran dan Al-Sunnah, para sahabat dan tabi’in telah sebulat
suara mengatakan wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu
(Pemerintahan Islam).

Dari segi logiknya pula, manusia itu tidak
boleh hidup dalam keadaan porak peranda tanpa tanzim, maka setiap
tanzim perlu kepada pihak yang berkuasa, maka yang berkuasa di dalam
sesebuah negara ialah pemerintah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang
maksudnya:

“Jika tiga orang berada dalam pelayaran maka hendaklah mereka melantik seorang ketua”.

Hadis
ini menunjukkan bahawa nabi mewajibkan perlantikan ketua dalam kumpulan
yang kecil, maka apatah lagi kumpulan yang lebih besar dan tersebar.

Cara-cara Menegakkan Pemerintahan Islam

Sebelum
itu, kita telah menyatakan bahawa Pemerintahan Islam itu berbentuk
khilafah. Pembentukan dilakukan melalui perlantikan pemimpin tertinggi
iaitu khalifah dan khalifah pula akan melantik pembantu-pembantunya
sama ada jemaah menteri, ahli syura dan lain-lain.

Dalam keadaan
biasa, perlantikan khalifah itu berlaku melalui tiga peringkat
pencalonan, penapisan calon dan pungutan suara rakyat yang berhak
bersuara. Ia dikenali dengan Bai’ah Ammah.

Hal ini dipetik dari
peristiwa perlantikan Saidina Abu Bakar Al Siddiq, di mana beliau
dicalonkan dan disahkan pencalonannya di dalam perhimpunan Saqifah Bani
Saidah, kemudian selepas itu dilakukan ‘baiah ‘ammah’ di masjid Al
Nabawi.

Baiah ‘ammah itu kadangkala dipanggil pungutan suara
ramai, kadangkala digelar dengan nama Al Syahadah iaitu para saksi yang
juga dipanggil pengundi memberikan penyaksiannya bahawa calon itu
adalah layak memiliki syarat-syarat yang dikehendaki oleh Islam.

Kewajipan Ummah di dalam Menegakkan Pemerintahan Islam

Sama
ada persetujuan kepada pencalonan yang kita sebutkan di atas dibuat
atas nama ‘Baiah Ammah’ atau ‘Al Syahadah’ maka setiap umat Islam yang
aqil baligh wajiblah menyertainya. Atas nama baiah ianya wajib kerana
bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:

“Sesiapa yang mati dan tidak pernah melakukan baiah nescaya matinya itu dalam keadaan jahiliyyah”.

Antara maksud lafaz baiah itu ialah:

“Aku memberi baiah kepada kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya”.

Adapun atas nama Al Syahadah, ianya diwajibkan bersandarkan kepada antara lainnya Firman Allah Ta’ala, maksudnya:

“Dan hendaklah kamu persaksikan dua orang yang adil dari kalangan kamu”. (At Talaq:2)

Firman Allah lagi, maksudnya:

“Dan hendaklah menegakkan syahadah semata-mata kerana Allah”. (At-Talaq:2)

Firman Allah Ta’ala lagi, maksudnya:

“Dan
janganlah kamu menyembunyikan syahadah dan sesiapa yang
menyembunyikannya maka sesungguhnya berdosalah hatinya”. (Al-Baqarah:
283)

Oleh kerana itu para pengundi haruslah mempunyai
syarat-syarat yang ada pada saksi, antara lainnya bersifat adil. Mereka
memberikan persetujuan kepada seseorang calon itu hanya berdasarkan
kelayakan peribadi dan matlamat pencalonan seperti mana hadith
Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:

“Aku memberi baiah kepada kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”.

Mendaftar Diri Sebagai Pemilih

Sayugia
diingatkan bahawa menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia memerlukan
kepada proses mendapat suara majoriti di dalam dewan rakyat atau dewan
negeri. Untuk mendapat suara majoriti di dewan rakyat atau dewan
undangan negeri mestilah memenangi kerusi terbanyak di dalam
dewan-dewan tersebut.

Untuk memenangi kerusi-kerusi yang
dipertandingkan di dalam pilihanraya mestilah mempunyai pengundi yang
ramai (majoriti). Undi yang serupa itu tidak akan diperolehi kecuali
para pencinta Islam layak menjadi pengundi.

Mereka tidak akan
layak mengundi (mengikut peraturan yang ada) kecuali mereka didaftarkan
sebagai pemilih. Oleh kerana itu dan berdasarkan kepada fakta-fakta
yang telah kita bentangkan di atas dan berdasarkan kaedah fiqh:

“Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”.

Maka dengan itu mendaftarkan diri sebagai pengundi di dalam negara Malaysia ini adalah menjadi wajib mengikut hukum syara’.

Kesimpulan dan Penutup

Semua
mengetahui bahawa melaksanakan hukum syara’ itu adalah wajib. Ia tidak
boleh dilaksanakan kecuali wujudnya kerajaan Islam. Maka mewujudkan
kerajaan Islam adalah wajib.

Dalam konteks Malaysia hari ini,
proses menegakkan kerajaan Islam dibenarkan oleh undang-undang adalah
melalui pilihanraya, maka menyertai pilihanraya untuk tujuan tersebut
adalah wajib. Seseorang itu tidak mengundi di dalam pilihanraya kecuali
dia adalah seorang yang layak dan berdaftar sebagai pemilih secara sah.
Maka mendaftarkan diri sebagai pemilih adalah wajib.

“Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya akan ia menjadi wajib”

ATTENTION

Friday, July 20th, 2007

jom kwn2 dftr jd pemilih